Aurat Wanita

Apakah batasan aurat wanita?

Batasan aurat wanita berbeza mengikut situasi berikut;
1. Aurat bersama suami.
2. Aurat di hadapan lelaki ajnabi
2. Aurat di hadapan mahram
3. Aurat di hadapan wanita lain

Apakah aurat wanita dengan suaminya?

Tidak ada aurat antara suami dan isteri. Harus bagi suami melihat ke seluruh badan isterinya termasuk kemaluannya. Namun melihat kepada kemaluan adalah makruh secara umumnya termasuklah melihat kepada kemaluan sendiri.

Apa maksud lelaki ajnabi? Apakah batasan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi?

Lelaki ajnabi bermaksud lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya). Inilah pandangan jumhur ulamak dan menjadi amalan kebanyakan wanita Islam hari ini. Namun keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah. Dalam keadaan fitnah, keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup tanpa ada sebarang bahagian yang dikecualikan.

Siapakah mahram bagi seorang wanita? Apakah batasan aurat wanita di hadapan mahramnya?

Mahram seorang wanita ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi;
1. Bapa kandung
2. Bapa mertua
3. Bapa susuan
4. Anak kandung
5. Anak tiri (yakni anak suami)
6. Anak susuan
7. Saudara lelaki kandung
8. Saudara lelaki susuan
9. Anak saudara lelaki
10. Bapa saudara

Di hadapan mahram-mahram di atas, tidak diwajibkan wanita menutup badannya kecuali kawasan antara pusat dan lutut sahaja. Ini adalah pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’e dan Abu Hanifah). Jadi menurut jumhur ulamak; aurat seorang wanita di hadapan mahram-mahramnya hanya antara pusat dan lutut sahaja.

Namun ulama’-ulama’ mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat; hanya bahagian muka, kepala, leher/tengkuk, dua tangan dan dua kaki sahaja yang harus didedahkan di hadapan mahram. Adapun bahagian-bahagian lain, ia tetap menjadi aurat dan wajib ditutup sekalipun di hadapan mahram. Pandangan ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di mana beliau menegaskan; “Bahagian badan wanita yang harus dilihat oleh mahram hanyalah tempat-tempat beradanya perhiasan bathin (dalaman) seperti telinga, rambut, leher, lengan dan betis. Adapun selainnya seperti paha, perut, kemaluan dan punggung, maka tidak harus didedah dan diperlihatkan sekalipun kepada mahram atau wanita lain. Pandangan kedua inilah yang lebih menepati kehormatan seorang wanita berbanding pandangan jumhur tadi.





Merujuk kepada huraian kita sebelum ini, maka kita akan dapati bahawa perhiasan pada badan wanita itu ada dua jenis

1. Perhiasan zahir; iaitu pakaian yang dipakai dan perhiasan yang ada di kawasan muka dan tangan (seperti celak, cincin, inai dan sebagainya). Perhiasan zahir ini harus diperlihatkan (atau didedahkan) kepada orang lain termasuk lelaki ajnabi, namun dengan syarat aman dari fitnah.

2. Perhiasan batin/khafiy (tersembunyi); iaitu perhiasan yang berada di kawasan selain muka dan tangan seperti anting-anting, rantai, gelang kaki dan sebagainya; tidak harus diperlihatkan kecuali kepada suami, mahram dan lelaki-lelaki yang disebut oleh Allah di dalam ayat 31 (dari surah an-Nur) di atas.

Jadi, hukum perhiasan adalah mengikut hukum tempat beradanya perhiasan itu. Jika ia berada di kawasan badan yang harus didedahkan (iaitu muka dan dua tangan), maka hukum mendedahkan perhiasan itu juga harus. Jika ia berada di kawasan badan yang haram didedahkan, maka hukum mendedahkan perhiasan itu juga adalah haram.

Selain di hadapan suami dan mahram, di hadapan siapa lagi wanita diberi kelonggaran untuk memperlihatkan perhiasan khafiynya?

1. Sama-sama kaum wanita
2. Di hadapan hamba-hamba mereka
3. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
4. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.


Apakah batasan aurat sesama wanita?

1. Aurat di hadapan wanita Islam. 

Aurat seorang wanita di hadapan wanita Islam adalah menyamai batasan auratnya di hadapan mahramnya, iaitu;

a) Menurut jumhur ulamak; antara pusat dan lutut. Jadi menurut pandangan jumhur ini, harus seorang wanita mendedahkan mana-mana bahagian dari badannya di hadapan wanita Islam kecuali bahagian antara pusat dan lutut sahaja.

b) Menurut sebahagian ulamak; seluruh badannya adalah aurat kecuali kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betis. Jadi menurut pandangan ini, harus seorang wanita mendedahkan kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betisnya di hadapan wanita Islam. Bahagian lain tidak harus didedahkan kerana ia masih tetap aurat walaupun di hadapan wanita Islam. 

2. Aurat di hadapan wanita kafir

Terdapat banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir;

a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie); aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab Maliki; aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan. Menurut Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.

c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam tadi iaitu antara pusat dan lutut (mengikut pandangan jumhur ulamak). Pandangan ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki. Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.

Ada di kalangan ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak;

a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.



Credit to: Laman Fiqh Anda

No comments: