Nilai Tudung Wanita

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.


Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan.

Kesimpulannya, pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syara’. Ia bukanlah isu yang terkait dengan pilihan peribadi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong. Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syara’nya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperhebatkan. Ini adalah perlu kerana ramai di antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, sama ada oleh individu-individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syara’. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syara’ dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi di dalam masyarakat; tegur menegur atas kebaikan, khususnya di dalam isu pemakaian tudung dan busana Islam yang betul akan berleluasa dan nuansa Islam akan menyelubungi seluruh umat.

No comments: