Ibadah Korban

Korban atau ‘udhiyah’ bermaksud menyembelih haiwan tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing.
Dalam bahasa Arab, Udhhiyyah. Idhhiyyah, Dhahiyyah, Dhihiyyah, Adhhat, Idhhat, bererti haiwan yang disembelih dengan tujuan taqarrub kepada ALLAH pada hari Aidiladha sampai akhir hari-hari Tasyrik.

Firman Allah:
فَصَلِّ لِرَ‌بِّكَ وَانْحَرْ‌ ﴿٢
“Oleh itu, solatlah kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)..”  Surah Al-Kautsar: 2.

Jadikanlah korban yang dikerjakan ikhlas dan diniatkan hanya semata-mata untuk Allah SWT, tidak kepada selain daripada-Nya, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianuggerahkan Allah yang tidak terhingga banyaknya.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Tiada satu amalan yang paling dicintai Allah SWT. daripada Bani Adam a.s ketika Hari Raya Aidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT. sebelum mengalir ke tanah. Kerana itu berbahagialah dirimu dengannya.”   (Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.)


A).  HUKUM KORBAN
Menyembelih korban adalah sunat muakkad dan menghampiri kepada wajib bagi yang berkemampuan.

B).  FADILAT KORBAN
Korban akan meenjadi kenderaan ketika melalui titian Siratul Mustaqim.
Ibadah yang menyelamatkan empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat.

C).  HAIWAN KORBAN

a- Jenis Haiwan
1. Unta untuk 10 orang
2. Lembu untuk 7 orang
3. Kambing untuk 1 orang.

b- Haiwan yang dilarang:
Syarat haiwan untuk ibadat korban haruslah sihat dan sempurna serta tidak:
Sakit.
Buta
Cacat.
Kurus.
Bunting
Haiwan yang sudah tua renta dan tidak bersum-sum lagi.

c- Anggaran Umur Haiwan
1. Unta: 3 – 5 tahun
2. Lembu: 2 tahun
3. Kambing: 1 tahun.

d- Warna Haiwan Korban
Keutamaan haiwan korban itu adalah yang berwarna putih. Kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya. Kemudian haiwan yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan haiwan korban yang berwarna merah bulunya.



D).  KEUTAMAAN HAIWAN KORBAN
Lebih afdal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.

Seekor unta, lembu atau kerbau yang dibuat korban boleh dikongsi oleh tujuh orang, walaupun tidak semuanya bermaksud korban. Misalnya, ada antaranya bermaksud akikah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya saja.

Berkorban dengan seekor kambing lebih afdal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang. Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang, tetapi pahala berkorban dengan seekor korban itu harus dikongsi dengan orang lain.
Berkorban dengan tujuh kambing itu lebih afdal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.

E).  WAKTU PELAKSANAAN IBADAT KORBAN
Bermula waktu korban ini daripada terbit matahari pada 10 Zulhijah sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijah. Waktu yang afdal melakukannya adalah ketika matahari naik sekadar tujuh kaki dari ufuk pada Hari Nahr (10 Zulhijah).

F). LARANGAN KORBAN
Jika daging korban itu disebabkan wasiat daripada seorang yang meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.
Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.

Tidak harus memindahkan daging korban ke daerah lain seperti dalam hukum zakat.
Haram menjadikan kulit dan daging haiwan korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.
Haram ke atas orang yang berkorban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada haiwan korban itu.

Perkara itu seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu, maka tiada dikira korban baginya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Walaubagaimanapun menurut pandangan mazhab Hanbali, menjemput orang bukan Islam makan atau memberikan daging sembelihan korban sunat adalah dibolehkan asalkan ia mempunyai niat yang baik dan tidak bertentangan dengan tujuan dan matlamat murni ibadah korban, tetapi daging korban wajib (nazar) tidak boleh kita berikan kepada mereka.


Ibadah Korban bertujuan mensyukuri nikmat Allah SWT yang dikurniakan sepanjang tahun dan memberi orang lain sama-sama merasai nikmat yang Maha Khaliq disamping mempereratkan ukhuwwah sesama ummat.

Ikhlaskan niat dan perbanyakkanlah amal soleh dalam bulan Zulhijjah terutama dalam ibadah korban ini. Dan yang lebih penting, ikutilah sunnah rasulullah dan para salafus soleh.


Credit to : Syafiq Qolbu

No comments: